Novel Hak Cinta Terpelihara By Lynn Dayana | Buku ini saya beli second hand dari grup novel terpakai tapi tak ingat dari siapa sebab sebagai peminat naskah Lynn Dayana, saya sebolehnya ingin miliki semua karya beliau sebab saya memang jatuh cinta dengan cara dia mengolah cerita.


Lynn Dayana antara penulis novel yang cukup saya minati dengan lenggok penulisan yang menusuk hati dan dia sering meletakkan perumpamaan dalam penulisannya yang sering membuat saya tersenyum. Cukup menarik bagi saya!



Baca :

Novel Cinta Untuk Disewa by Lynn Dayana

Novel Cinta Tak Beralih By Hezzy Azra

Novel Hantaran Kasih Tuhan By Noorfadzillah Omar


Sinopsis Novel Hak Cinta Terpelihara By Lynn Dayana

Antara mereka pengikatnya adalah Ain. Saat hubungan yang erat terputus, Qartini dipersalahkan lalu kesemuanya membawa haluan sendiri. Lima tahun berlalu, sekeping kad undangan perkahwinan mencipta pertemuan. Luka lama kembali berdarah!

Qartini kini diburu Eric yang sanggup melupakan lingkaran hitam hidup gadis itu kerana dia sendiri menyimpan rahsia.

Sarah yang berada di ambang kematian meninggalkan amanah kepada Yus agar mengasihi anaknya. Mampukah dia memikul tanggungjawab itu?

Yus yang didatangi cinta suami orang mencari perlindungan. Akan adakah hati yang terusik?

Neesa pula dikejar mimpi ngeri bila suami tiba-tiba berubah laku. Mampukah istana yang dibina berdiri kukuh sedangkan ombak ganas melanda?

Sesungguhnya, mereka tidak pernah mengimpikan laluan hidup yang sukar. Hak untik dicintai dan mencintai, siapa mereka untuk menentukan?

Qartini - Cinta memerlukan persamaan yang mewujudkan keserasian.

Sarah - Cinta itu setia yang tidak berbelah bahagi.

Yus - Cinta sentiasa perlukan pengorbanan.

Neesa - Cinta adakalanya penjara yang memagari jiwa.

Namun, jika cinta itu sudah menjadi hak, maka menjadi tugas untuk memeliharanya walau perlu bergadai nyawa. Percayalah…Jika Benar Cinta maka Hak Cinta mesti terus Terpelihara! Jangan sampai ketinggalan.


Ulasan / Komen

Mengisahkan 6 sahabat yang dulunya akrab tapi menjadi dingin disebabkan cinta segitiga, 2 wanita mencintai 1 lelaki dan lelaki tersebut menyintai salah seorang wanita tersebut tapi wanita tersebut melepaskannya demi seorang sahabat, namun kesudahannya dia pulak dipersalahkan. Sadis bukan.


Qartini suatu watak yang cukup berkarisma, bijak, mata dan boleh dikatakan keras tapi tiada sesiapa pun yang kelihatan keras tu hidupnya juga keras tanpa perasaan. 


Saya rasa simpati dengan Qartini yang memilih untuk terus berdiam diri walau dikecam sebagai perampas kekasih kawannya walhal hakikatnya adalah sebaliknya. Qartini banyak berkorban kerana setianya pada sahabat baiknya Ain. Dia dipersalahkan oleh sahabat-sahabatnya yang lain kerana telah 'merampas' Hairi dari Ain. Lama dia menderita memendam perasaan dan sahabat-sahabatnya menjauhi dirinya. Hairi pula mendirikan rumah tangga dengan Azrin, kemudiannya dia membuka rahsia yang dipendam selama ini untuk membersihkan nama Qartini.


Bagi Qartini pula dia mengundurkan diri walau hati terluka, berundur dengan terpaksa dan dipaksa. 


Setelah sekian lama, demi persahabatan, mereka berempat kembali bersama agar hubungan ini tidak terputus lagi. Kenapa 4? semuanya akan terjawab bila sesiapa membaca novel ini.


Cerita ini lebih kepada berfikir akan persahabatan yang baik dan pengorbanan seorang sahabat yang baik walau dia nampak jahat hingga sanggup mendiamkan diri dari memburukkan sahabat baiknya.


Cuma ending tu membuatkan saya tertanya² kenapa Hariz anak angkat Hairi di padankan dgn Adila anak Neesa dan bukan dengan Sofea anak Qartini? Mungkin itu sebaiknya kot Hairi nanti jatuh hati pada Qartini..hanya tanggapan tapi mungkin penulis punya pendapat yang berbeda


Watak yang cukup saya suka pastinya Yus dan saya jatuh cinta dengan watak Eric yang penyabar dan boleh terbuai dengan wataknya hingga buat saya jatuh hati dengan watak Eric yang sentiasa mengisi hari-harinya dengan tawa dan kata-kata yang membuat Qartini bahagia tapi dia tidak berani membuka hatinya untuk Eric kerana latarbelakang hidupnya. Saya cukup sedih bila Eric kecewa lalu berhenti kerja. Kisah Eric bukan hanya menyukai Qartini tapi dia juga di kejar oleh sepupunya sendiri dan sepupunya yang menjengkelkan itu dapat restu neneknya. 


Bahagia bila akhirnya, Qartini sedar bahawa dia perlukan Eric dalam hidupnya dan dia tidak mampu untuk lepaskan Eric kepada orang lain. Dia nekad untuk mendapatkan Eric. 


Selain Qartini, kehidupan sahabat-sahabatnya yang lain juga dibelit dengan berbagai dugaan. Sarah mengidap barah darah dan hanya mempunyai masa yang singkat untuk hidup dan demi kasih pada suaminya, Kamal, yang sentiasa memberi kekuatan untuk dirinya. Sarah tewas dan dia memberi amanah berat buat Yus menjaga anak tunggalnya, Dina dan suaminya. Yus, gadis tomboy yang dibesarkan dengan penuh kasih-sayang oleh ayah, ibu tiri dan adik-adiknya, Hanim dan Raihan. Bila ditimpa kemalangan, dia diberikan kereta oleh ayahnya. Bermulalah saat dia bertukar menjadi wanita yang dikejar kumbang. Namum, kumbang itu sudahpun mempunyai isteri dan dua orang anak. Yus ingin melarikan diri tapi tetap dikejar oleh Amir. Muncul Kamal menjadi pelindung buat Yus.


Neesa, takut pada Hakim, suaminya yang mula menunjukkan sifat baran. Neesa ingin mengetahui siapa yang bertalifon. Mulalah saat dia diugut serta peras oleh adik iparnya, Razib. Hakim, suami Neesa, telah mengikutinya bila dia bertemu dengan Razib. Marah dia bila Razib menolak Neesa sampai jatuh, tapi dia juga meninggalkan Neesa kerana terlalu marah sangat. Tidak disangka, Neesa telah keguguran. Neesa hampa dengan sikap Hakim yang meninggalkannya bila dia diperlukan. Hakim akhirnya akur bahawa dia perlu pertolongan pakar untuk menyelamatkan rumahtangganya. 


Ending yang cukup menarik bila kesemua sahabat kembali mesra dan anak-anak mereka dipesan untuk sentiasa bertemu setiap tahun untuk mengekalkan silaturrahim mereka semua.


Menarik kan.