Informasi Buku
Tajuk : Pada Masa Yang Terhenti
Genre :
Bil. mukasurat : 280
Penulis : Yaya Samad
Rating : 5*
Sinopsis
“Macam mana aku nak hidup tanpa abah?”
“Aku pun takut, Malik. Tetapi sementara ada masa, kita hargai dia boleh?”
***
Malik terdesak — kerana dia tahu, waktu abah semakin singkat. Dia kasihan melihat ibu yang lelah bekerja dan menjaga abah. Walau sebanyak mana pun Malik cuba meringankan derita mereka, masih tidak cukup. Jarum masa tetap berdetik.
Tertekan dengan hidup, Malik mula meluahkan isi hatinya ke dalam surat yang dimulai dengan:
“Ke hadapan malaikat maut ….”
Surat yang hanyalah suatu luahan, namun tanpa disangka-sangka, mendapat balasan daripada seorang gadis bernama Kuntum.
“Kuntum, siapa ni? Ada orang main-mainkan aku ke? ”
“Malik, Tuhan hadirkan aku supaya kau terus kuat.”
Apabila Malik mula menerima realiti hidupnya, kesihatan abah tiba-tiba merosot mendadak. Kesabaran Malik hancur berkecai. Dia akhirnya terjerumus ke dalam gaung yang gelap dan dalam. Dalam situasi getir ini, adakah Malik perlu terus menongkah arus takdir — atau melepaskan demi menghargai yang masih ada?
Pada saat ini, adakah surat Kuntum mampu menyelamatkannya?
Ulasan
Novel yang mengangkat tema utama kesihatan mental, persahabatan dan kekeluargaan.
Cerita ini sangat kena mengena dengan sesiapa yang menjadi caretaker, pernah menjadi caretaker seperti Malik, apalagi dia seorang yang masih muda.
Memang terasa nyata kisah Malik yang menjadi penjaga bapanya yang sakit, terasa hidup sekali. Betapa dia terasa tertekan dan kasihan pada si ayah yang sakit hingga menulis surat yang diselit di dalam buku Aku Dan Masa Yang Terhenti tulisan Nur Alias. Surat kepada malaikat maut untuk menjemput si ayah.
Namun, surat tersebut ditemui Kuntum yang hidup pada tahun 1969 dalam buku yang sama pada tahun yang berbeza. Bagaimana mungkin perkara tu berlaku?
Mereka terus berhubungan, surat demi surat yang pada awalnya pelik bagi Malik bila mendapat balasan surat dalam bahasa tahun 60an yang sangat pelik pada Malik.
Dengan surat itu juga, Kuntum meminta cucunya, Orked bertemu dengan Malik tanpa Malik ketahui siapa Orked sebenarnya. Kuntum ingin memastikan Malik bertindak tidak waras untuk menamatkan penderitaan ayahnya.
Orked hadir sebagai seorang sahabat yang memberi nasihat dan menjadi pendengar pada masalah Malik begitu juga Uncle Ravi dan Krish yang turut memberi impak kepada kehidupan Malik.
Pengalaman menjaga orang sakit ni memang melelahkan dan kadang kala menduga kesabaran, selain perlu sihat, caretaker ini juga perlu sihat mentalnya dan perlu ada kawan yang menjadi pendengar dan tidak dibiarkan keseorangan menghadapi tugasan dan tanggungjawab.
Menariknya bukan hanya Kuntum yang membantu Malik tapi juga Malik membantu menyelamatkan Kuntum dan keluarga dalam menghadapi peristiwa 13 Mei.
0 Ulasan