May - Terpasung di Lorong Waktu by Rozanna. Kisah kasih dan tanggungjawab seorang anak, pengobanan serta percintaan berlainan agama.
Informasi Buku
Bil muka surat : 383
Penulis : Rozanna
Watak
Bujang, Adli, May, Kim Swee
Sinopsis
Jika kita boleh kembali ke masa lalu, mengubah hal-hal dahulu, membaiki kesilapan yang telah berlaku, lantas untuk apa kita risau akan masa hadapan?
Bujang - berjuang untuk memiliki cinta hati tanpa mempedulikan kata-kata orang di sekeliling, namun tewas mengatasi perasaan dilemanya dan menjadikan dia seorang pengecut.
Adli - begitulah hal-hal yang selalu mengganggu dirinya – menjadikan dia seorang perindu akan masa lalu dan dibelenggu seribu penyesalan.
Namun, kehadiran “jam” yang misteri telah mengubah segala-galanya.
…
May - Terpasung di Lorong Waktu merupakan sebuah novel time travel – melompat dari tahun 2019 ke tahun penuh tragedi, 1969. Novel sulung penulis ini dikarang beliau pada tahun 2006 ketika berusia 15 tahun.
Ulasan
Kisah cinta berlainan agama yang digarap dengan cukup baik dan dengan nilai-nilai yang cukup baik.
Adli, lebih dikenali sebagai Bujang, seorang anak muda kampung yang sangat bertanggungjawab, pelindung dan pencari rezeki buat ibu dan kakaknya setelah kematian ayahnya. Dia bersahabat baik dengan Kim Swee, anak keluarga keturunan baba nyonya.
Takdir menemukan Bujang dengan May. gadis cantik sebatang kara, sewaktu menaiki bas pulang ke kampung. May merupakan sepupu Kim Swee, berjaya menawan hati Bujang dan saling jatuh hati dengan kebaikan Bujang yang sanggup berkongsi payung ketika dia dalam perjalanan ke rumah ibu saudaranya.
Plot cerita yang berkisar pada tahun 1969 dan tahun 2019 membentuk cerita dalam dua garis waktu. Mungkin sebab kita pernah menonton drama-drama lama tahun 60an jadi dengan mudah kita dapat merasa seakan berada di dalam tahun yang sama.
Cukup seronok bila banyak yang ditulis mengingatkan saya pada kenangan balik kampung dengan suasana kampung jadi boleh relate dengan apa yang penulis ceritakan dan nama-nama panggilan yang cukup menggambarkan peribadi dan rupa paras mereka.
Kisah cinta Bujang mendapat tentangan ibu dan kakaknya kerana dia mencintai gadis yatim piatu yang berbeza agama.
Ia juga berkisah sejarah hitam yang berlaku di tanah air pada tahun 1969, yang dialami oleh Bujang, May dan keluarga Kim Swee.
Jalan cerita yang manis, diselit dengan sedikit humor dan perjalanan cerita penuh dengan sentuhan emosi dan disajikan dengan kehidupan kampung yang serba sederhana dengan Bujang yang sederhana sifatnya.
Saya jangka Bujang dan May akan berkahwin selepas lari ke Singapura tapi tidak. Bujang kemudian ke England untuk bekerja di ladang buah dan mengahwini seorang wanita Inggeris.
Bagaimana Bujang boleh ke England? Bujang ke sana tanpa May dan apa jadi pada May?
Menariknya Bujang kembali merentas masa untuk ke tahun-tahun yang dilalui sewaktu muda dalam keadaan fizikalnya yang sudah tua pun cukup menarik. Adli menjalani kehidupan penuh sesalan tapi dengan jam pintar dia dapat merentas masa, kembali ke zaman silam.
Agak perit bila Bujang cuba melawan takdir dengan kita sebagai pembaca menaruh harapan tapi kita kemudian akur bila kita mengubah sesuatu, kita akan kehilangan sesuatu.
Saya memenang highly recommend novel ini untuk dibaca kerana kita akan merasai pengalaman yang cukup indah baik dari segi penulisan dan bahasa dalam novel ini. Mungkin bagi sesetengah pembaca (pada awalnya) akan merasa bosan sebab penceritaan yang agak perlahan tapi berbaloi!
0 Ulasan