Cintaku Bukan Murah, kisah perkahwinan dua orang sahabat baik  yang penuh cabaran.



Sinopsis Cintaku Bukan Murah

Bagi Nadra, jadi isteri Raqib tidaklah sesusah mana. Tak perlu dilayan macam putera raja. Makan disuap tidur didodoi pun tidak. Pendek kata, Raqib memang suami yang sempoi. Yang sukarnya bila jadi cucu menantu bekas Leftenan Kolonel Tuan Haji Yunus. Tak habis-habis mengungkit, kononnya, dia tak pandai buat air kopi. Badannya macam papan lapis dan muka pula pucat tak berdarah. Sabar sajalah...


Dan yang lebih payah, bila jadi kakak ipar Idlan. Umur baru 16 tahun, kerenahnya sangat menyakitkan hati. Sungguh, Nadra buntu! Apa lagi yang tak kena dengan Idlan? Maka berperang psikologilah antara kakak ipar dan adik ipar. Kejap-kejap hati Nadra dilapah Idlan. Kejap-kejap, hati Idlan pula yang dicelur. Si datuk, sesekali jadi nasi tambah. Namun perang mereka, perang mulut. Tak ada senjata, tak ada yang cedera tapi bisanya tetap tusuk sampai ke hati.


Soalnya, siapa yang menang? Nadra, Idlan atau Tuan Haji Yunus? Dan Raqib... harus berpihak pada siapa? Bagi Nadra, dia tidak meminta yang lain. Hanya secebis kasih Idlan dan simpati Tuan Haji Yunus yang sangat mahal, sama macam harga cinta Raqib. Sama ada murah atau mahal, Nadra harap cinta itu jadi miliknya!



Informasi Buku

Novel : Cintaku Bukan Murah

Penulis : Aleya Aneesa

Bil Mukasurat : 700

Rating : 


Ulasan/Review

Nadra melamar Raqib kerana tidak mahu dijodokan dengan Ghazlan, maka termeterailah sebuah ikatan sebagai suami isteri diantara dua orang sahabat.

Perkahwinan mereka memang tampak bahagia. Lebih rapat berbanding waktu mereka berteman. Memang tak nampak cacat cela lebih-lebih lagi Raqib memang pandai mengambil hati Nadra. Cuma mungkin Raqib lupa, layanan baiknya pada Nadra bukan bermakna Nadra telah maklumi isi hatinya, Jadi hubungan baik mereka masih terbatas bila masing-masing masih memendam rasa.


Kebiasaannya si isteri akan punya masalah dengan ibu mertua tapi tidak pada Nadra bila cabarannya dia adalah Idlan adik ipar yang menganggap Nadra 'perampas' abang kesayangannya dan juga datuk Raqib, Leftenan Kolonel (B) Tuan Haji Yunus. Datuk Raqib ni tak habis-habis mengungkit dan mengutuk Nadra. Tak pandai buat kopilah, pucatlah. Pendek kata ada saja yang tak kena dengan Nadra setiap kali dia datang bertandang. Tapi dalam tegasnya tu, Nadralah cucu menantu yang diiktirafnya. Dia takkan approve isteri lain untuk Raqib. Tuan Haji Yunus ni memang cool!


Bagi Idlan pula, Nadra harus diperangi habis-habisan. Dia tak rela berkongsi kasih dengan Nadra. Dia pandai bermuka-muka dan pandai memutar fakta sehingga tercetusnya pergaduhan antara Raqib dan Nadra. 

Ketabahan Nadra mengharungi semua dugaan di rumah mertuanya ranap sekelip mata bila diketahui yang Raqib tak pernah ada sedikit pun perasaan untuknya. Tambah memilukan lagi Nadra turut kehilangan abang yang sangat menyayanginya dan anak yang dikandungnya pada hari yang sama. Bila Nadra mula menjauhkan diri, mampukah Raqib untuk memujuk hati Nadra yang terluka parah itu?


Menariknya penulis tetap memasukkan unsur-unsur kekeluargaan dalam setiap karyanya. Konflik antara Nadra-Idlan-Tuan Haji Yunus memang nampak cantik aturannya sampai buat saya rasa geram teramat dengan Idlan tu. 


Memang geram dengan perangai Idlan yang buat kita rasa nak bagi penyepak tapi Nadra pun bukan jenis melawan. Pasrah je menelan ayat-ayat pedas Tuan Haji Yunus tu. 


Kalau kita berada ditempat Nadra macam mana agaknya kita nak tangani orang seperti Idlan dan Tuan Haji Yunus.